Pewaris’s Weblog

Pewaris

“Talkshow” di Bandar Tun Hussien Onn – Tajuk “Takpelah”…

Alhamdulillah , buat kali kedua bagi tahun 2008, Pewaris dapat kembali berusrah dengan adik-adik di Bandar Tun Hussien Onn. Perancangan Pewaris untuk menganjurkan usrah bulan Januari lepas dan Mei di BTHO ini dapat dilaksanakan. Jika bulan sebelumnya Pewaris telah menganjurkan usrah di Desa Surada (March) dengan berbincang tajuk berkenaan cita-cita dan pengorbanan ibu bapa , kali ini Pewaris membawa Peserta bersama-sama memikirkan tentang sikap ‘Take for granted’ atau dalam istilah melayu’ Takpelah’ .

Jika sebelum ini usrah Pewaris dimulai dengan program ceramah disampaikan oleh Ustaz jemputan , namun kali ini pihak Pewaris telah membuat pendekatan berbeza dengan menganjurkan ’Talkshow’ yang panelnya terdiri daripada AJK Pewaris sendiri . Perkongsian pengalaman , usaha dan langkah-langkah berdepan masalah dari panel yang terdiri dari akhi Faizal , Fadhli dan Halijah dilihat dapat mewujudkan komunikasi dua hala di kalangan peserta. Peserta dibawa berfikir akan kesan jika bertindak sambil lewa dalam mengerjakan sesuatu perkara . Kerja rumah tidak disiapkan , keputusan yang kurang cemerlang , kurang berdikari , kurang paham tajuk adalah beberapa kesan dari tindakan take for granted (takpelah) jika berdepan sesuatu masalah

Sikap ’tak kisah atau takpelah’ ini bukanlah sesuatu yang baru dalam diri manusia .Antara dialog yang mungkin biasa kita dengar dalam diri pelajar adalah seperti ”erm , esok-esok aku buatlah kerja rumah ni” , ”Tolong buatkan soalan ni, susahlah….kalau dah siap , nanti aku tiru yer” , ”Tak naklah jumpa cikgu….” ”Tak menariklah subjek ini..biarkan je lah” dan banyak lagi dialog-dialog yang sebenarnya boleh membawa kesan negatif. Dialog-dialog ini jika diikuti dengan tindakan atau sikap bertangguh, bergantung sepenuhnya pada orang lain , tidak berani bertanya dan mengambil mudah sesuatu perkara boleh memberi kesan yang negatif samada dalam membentuk sikap atau peribadi seseorang malah ianya boleh menjejaskan keputusan peperiksaan atau akademik seseorang pelajar. Maka ianya harus diatasi dari awal lagi.

Aktiviti seterusnya diisi dengan usrah berkelompok. Dalam kumpulan kecil ini pelajar dapat diterangkan serta menyemak semula berkenaan borang “career mapping” , mengulas tentang kesan dan tindakan sikap ’takpelah’ dan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan sebagai seorang pelajar. Aktiviti malam ni kemudiannya diteruskan dengan aktiviti terakhir iaitu “mengambil sebatang pen dari sebuah tikar , tanpa memijaknya”

Dalam aktiviti terakhir ini , peserta yang diagihkan kepada beberapa kumpulan diminta berbincang tentang kaedah untuk mengambil sebatang pen di atas tikar tanpa menggunakan bahan sokongan (galah/kayu dll) , mengangkat tikar mahupun memijak tikar . Walaupun pelbagai cara dilakukan pelajar namun pendekatan yang dilihat berkesan ialah dengan menggulung tikar , sedikit demi sedikit sehinggalah peserta dapat mengambil pen tersebut . Jika difikirkan inilah yang berlaku pada umat Islam hari ini. Terlalu ramai orang bukan Islam atau musuh-musuh Islam yang berusaha menghancurkan umat Islam secara berperingkat dan halus. Sedikit demi sedikit kita dipengaruhi dengan hiburan , fesyen , budaya , dan corak pemikiran barat yang negatif dan akhirnya orang Islam dapat dipijak atau diambil mudah oleh musuh-musuh Islam ini . Maka pentinglah dalam diri umat Islam dan pelajar Islam untuk mengamalkan cara hidup Islam di samping cuba membangunkan ekonomi umat Islam . Bijak mengatur masa , rajin berusaha , saling bantu-membantu , berkongsi perkara baik , bertawakal dan berdoa adalah beberapa langkah menuju kejayaan . Jadilah seorang doktor , seorang akauntan , pakar IT, pakar sains , jurutera mahupan bidang professional yang pelbagai bukan sekadar atas nama tetapi mengamalkan Islam dalam kehidupan harian yang mana semuanya bekerja menyumbang kepada kegemilangan Islam itu sendiri . InsyaAllah

May 17, 2008 - Posted by | Pewaris, Usrah

No comments yet.

Leave a comment