Oleh AQMAR ALLADAD

JUDUL Praises For The Prophet dipilih untuk album terbaru dan kesembilan kumpulan nasyid popular Raihan kali ini amat menarik dan memunculkan suatu kelainan.

Mahu tahu kenapa? Ini kerana ia diterbit tanpa vokalis utama dan tanpa muzik iringan.

Ini bermakna paduan suara harmoni keempat-empat anggota Raihan iaitu Abu Bakar Md. Yatim, Amran Ibrahim, Che Amran Idris dan anggota baru Zulfadhli Mustaza yang menggantikan Nazrey Johani memainkan peranan penting. Masing-masing perlu bergabung tenaga memberikan lontaran vokal terbaik mereka.

Bagi memecah kesunyian para peminat nasyid yang dahagakan kemunculan album terbaru mereka, Raihan membawa pendengar untuk menikmati kesegaran alunan selawat kepada Rasulullah s.a.w dengan konsep tanpa muzik iaitu acapella.

Kehebatan keharmonian vokal kumpulan Raihan terserlah dan tidak boleh disangkal lagi kerana mereka telah pun membuktikan segala-galanya menerusi pelbagai kemenangan-kemenangan besar yang diraih sebelum ini.

Ia termasuklah Vokal Terbaik Berkumpulan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk enam tahun iaitu album Syukur (1999), Senyum (2000), Demi Masa (2001), Gema Alam (2002), Allahu (2005) dan Tawakkal (2007).

Namun, persoalannya tidakkah album terbaru Raihan ini lari dari konsep asal album-album Raihan sebelum ini?

Ketua Pegawai Eksekutif Raihan Records, Mubbin Abdul Latiff dalam pada itu menjelaskan, kemunculan album Raihan kali ini berkonsepkan beberapa ciri yang mempunyai banyak cerita untuk dikongsi bersama peminat.

“Album selawat terapi merupakan alunan merdu bagi penawar kepada sebarang masalah sama ada fizikal, minda dan rohani kerana album ini memuatkan koleksi-koleksi selawat yang popular di seluruh dunia.