Pewaris’s Weblog

Pewaris

Permata Hati: Didik anak hayati erti Ramadan

Ibu bapa perlu pandai pujuk si kecil supaya dapat terus menahan lapar, dahaga hingga tiba waktu berbuka puasa

MELENTUR buluh biarlah daripada rebung adalah pepatah lama yang sinonim dengan kaedah mendidik anak oleh masyarakat Melayu. Seperti juga buluh, manusia apabila meningkat dewasa semakin keras dan sukar sekali membuang tabiat yang sekian lama diamalkan. Usia kecil adalah sebaik-baik tempoh bagi ibu bapa untuk membentuk peribadi anak agar mengikut acuan yang diinginkan.

Mendidik dan melatih anak berpuasa ada banyak bezanya. Mendidik anak menahan diri daripada lapar dan dahaga tanpa paksaan bukan satu tanggungjawab sukar. Sebaliknya mendidik anak mengenai erti dan matlamat berpuasa itulah yang cukup mencabar. Apa yang penting, anak perlu dididik untuk menghayati Ramadan yang penuh mulia ini agar usaha menahan lapar dan dahaga seharian tidak sia-sia.

Pepatah lama ini dipegang Ariffin Ngah dan isterinya, Salizah Abdullah. Dua daripada empat anak mereka, Azeem Daniel, 9, dan Adriana Yasmin, 7, sudah dilatih berpuasa sebaik usia mencecah enam tahun. Mungkin ada pasangan yang sudah melatih anak berpuasa lebih awal, tetapi bagi pasangan ini, ia tidak memberi makna jika anak kecil itu tidak dapat menghayati erti sebenar Ramadan.

“Bagi saya tidak ada makna berpuasa setakat setengah hari. Lebih baik jangan berpuasa kerana jelas anak tidak dapat menahan sabar. Inilah yang penting dalam mendidik anak berpuasa iaitu erti kesabaran menghadapi sebarang kesukaran.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu tegas dalam menjalankan ibadat ini. Saya tidak akan menggunakan perkataan ‘cuba puasa’ tetapi mesti puasa. Memang usia sebelum akil baligh ini belum wajib berpuasa tetapi umur enam tahun sudah cukup untuk memahami apa itu puasa. Kalau rasa susah, malam dia gembira apabila berbuka. Itulah nikmat yang perlu diterangkan kepada anak-anak,” kata Ariffin yang ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, tanggungjawab mendidik anak berpuasa tidak sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada ibu semata-mata. Sebagai bapa, suami perlu membantu isteri melayan anak bersahur kerana ini waktu paling mencabar untuk memujuk anak makan pada dinihari.

“Bangun sahur tidak jadi masalah, tetapi bila bab makan ini yang susah sikit. Setengah jam duduk di meja makan pun mereka belum tentu lagi menyuap makanan ke mulut. Jadi, saya tidak akan meninggalkan mereka begitu saja sebaliknya duduk bersama untuk melayan mereka. Kalau mereka makan lambat, saya juga terpaksalah makan perlahan-lahan juga,” katanya.

Waktu berbuka adalah masa yang paling digemari anak. Ketika itu ibu bapa perlu melayan keinginan makan anak. Lebih memudahkan, Ariffin lebih gemar makan di rumah berbanding di luar. Justeru, isterinya yang menjadi suri rumah sepenuh masa akan menyediakan masakan kegemaran anak mereka.

“Jika anak teringin makan sesuatu seperti roti canai atau ais krim, kita bawa dia makan di luar selepas Isyak atau terawih. Waktu berbuka mesti di rumah, jadi tidak payah berbelanja besar untuk makan di luar. Memberikan hadiah berupa wang boleh diamalkan asalkan ibu bapa memastikan ia bukan matlamat utama,” katanya.

Sementara itu, Salizah berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan memujuk anak menahan lapar dan dahaga. Tugas ini cukup mencabar baginya ketika anaknya bersekolah di sebuah sekolah yang tidak ramai pelajar Melayu.

“Bila tengok pelajar lain makan di kantin, Azeem merengek hendak berbuka.

Tapi kita pujuk dengan bermain bersama dia seperti bermain play station agar dia leka. Kadangkala pujuk juga dengan berjanji membawa mereka makan ke tempat kegemaran lepas buka nanti. Pernah juga ketika darjah satu dulu Azeem beriya-iya hendak berbuka.

“Bila sampai satu tahap bosan mendengar, terpaksa juga benarkan. Bila dia hanya berbuka dengan air sejuk dan coklat, saya tanya, seronok atau tidak kerana tidak ada makanan dan lauk yang sedap untuk dimakan. Ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa kesal dan rugi dalam hatinya kerana tidak menahan sabar,” katanya.

Azeem , 9 yang belajar berpuasa sejak berusia enam tahun mengaku amalan itu secara luarannya begitu mudah diamalkan. Percubaan pertama jelas menunjukkan ia bukan mudah seperti sangkaannya menyebabkan Azeem terpaksa berbuka akibat terlalu lapar dan dahaga.

“Berpuasa bukan hanya menahan lapar, malah masa untuk mengumpul pahala sebanyak-banyaknya. Saya sedar berbuka sekerat hari itu hanya merugikan sebab kita tidak dapat keseronokan waktu berbuka bersama keluarga. Kalau lapar sangat, saya tidur atau main play station. Waktu sahur boleh bangun, tapi kurang selera makan. Asalkan makan sikit cukup untuk mengalas perut.

Tahun ini saya berazam berpuasa penuh,” katanya.

Adiknya, Adriana Yasmin, 7, mengakui seronok bangun sahur dan berpuasa seperti abang dan kedua ibu bapanya. Mencontohi abangnya, Yasmin berazam untuk berpuasa penuh tahun ini sebagai tahun permulaan untuknya belajar berpuasa.

“Setakat ini boleh lagi menahan lapar. Lagipun, kawan lain juga berpuasa.

Jadi, kenalah puasa juga. Bila waktu berbuka, mama masak nasi tomato yang saya suka,” katanya.

June 26, 2008 - Posted by | Keluarga

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: